;p

;p

~ItS mE~

MY BLOG AGE

Daisypath Anniversary tickers

slm

Sunday, February 23, 2014

RUQAYAH BINTI MUHAMMAD

 

RUQAYAH BINTI MUHAMMAD


        Perkahwinan Zainab, puteri sulung Rasulullah dengan Abi Al-‘Ash belum hilang kemeriahannya lagi, datang utusan keluarga Abdul Muthallib ingin menjalin ikatan kekeluargaan dengan keluarga Muhammad. Utusan itu adalah untuk meminta kedua-dua adik Zaianb iaitu Ruqayah dan Ummi Kaltsum. Dua saudara yang amat akrab sekali. Mereka telah meminang kedua-dua puteri Muhammad untuk Utbah dan Utaibah, 2 anak lelaki Abu Lahab yang terkenal dengan julukan bapa saudara Abdul Uzza.
 
        Ruqayah dan Ummi Kaltsum terdiam apabila mendapat tahu bahawa orang yang meminang mereka ialah Utbah dan Utaibah, anak bapa saudara mereka sendiri. Khadijah merasa sedih apabila mengenang akan nasib anaknya nanti. Fikirannya melayang, membayangkan keluarga calon besannya itu. Betapa beliau ragu melepaskan kedua-dua puterinya, Ummu Jamil, bakal ibu mertua kepada puterinya itu adalah seorang wanita yang kasar, sombong dan bengis. Segala sikap dan perilakunya tidak mencerminkan wanita Quraisy yang terhormat sama sekali dan itulah yang merunsingkan hatinya.
 
        Fikiran tersebut selalu mengganggu Khadijah, tetapi tidak disampaikan kepada suaminya. Padahal selalunya beliau adalah seorang yang sering berterus terang, tidak suka menyembunyikan sesuatu dari suaminya. Ruqayah dan Ummi Kaltsum telah dilanda oleh kebingungan. Bayang yang menyeramkan terpampang di hadapan mereka. Abu Lahab dan ibu mertuanya Ummu Jamil mengisyaratkan kehidupan yang tidak menyenangkan sama sekali. Mereka ssama sekali tidak mempersoalkan Utbah dan Utaibah. Keduanya memang pemuda bani Hasyim yang masih ada tali kekeluargaan dengan mereka dari sebelah ayah mereka. Ummu Jamil adalah keluarga Abdul Manaf; sedang Abdul Uzza adalah orang yang berjasa kepada keluarga mereka. Cintanya begitu besar kepada Muhammad, sehinggakan apabila mendengar khabar Muhammad lahir langsung hambanya, Tsuwaibah dibebaskan tanpa syarat.
 
        Semua jasa Abu Lahab tidak pernah dilupakan oleh mereka. Mereka pun sebenarnya tidak akan menolak anak lelaki keluarga bapa saudara Abdul Uzza itu. Kebimbangan mereka lebih tertumpu pada ketakutan menghadapi ibu mertuanya. Mereka telah terbiasa hidup dalam suasana yang harmoni dan menyenangkan dalam keluarga bahagia. Bersama orang tua yang mengasihinya, ibu yang bijaksana, ayah yang mulia dan tingkah laku yang sopan dan menarik hati.
 
        Gambaran keluarga Muhammad memang mengasyikkan, membuatkan sesiapa saja iri hati apabila melihatnya. Perkara ini jauh berbeza dengan keluarga calon mertua mereka. Oleh kerana mereka tidak mahu membuatkan ayah mereka malu kepada keluarga terdekat, mereka telah menerima pinangan keluarga Abdul Uzza. Upacara perkahwinan mereka berlangsung dengan lancar. Ruqayah dengan Utbah bin Abdul Uzza dan Ummu Kaltsum dengan Utaibah bin Abdul Uzza.
 
        Muhammad memberikan berkat dan restunya, kemudian menyerahkan keselamatan puterinya kepada Yang Maha Berkuasa. Begitu juga Khadijah, dengan penuh rasa kekhuatiran melepaskan kedua-dua puterinya ke rumah mertua mereka.
 
        Setelah selesai upacara pernikahan itu, Muhammad pergi beribadat dan bertafakur. Khadijah juga berasa hairan melihat suaminya yang lebih senang menyepi. Muhammad pula semakin sibuk dengan fikirannya tanpa sedikitpun mahu berkongsi kesusahan yang dialami dengan isterinya. Malam terus berlalu, hari demi hari berganti, naik turun seirama dengan kehidupan. Seirama pula dengan hati Khadijah yang mengikuti gerak langkah suaminya, Muhammad yang selama ini naik turun ke Gua Hira’. Adakalanya ingatan Khadijah melayang kepada kedua-dua puterinya, Ruqayah dan Ummi Kaltsum.
        Terbayang di matanya kehidupan yang menyedihkan bagi kedua-dua puterinya itu. Seperti yang telah dijangkakan akan terjadi, setelah khabar ke-Rasulan Muhammad tersebar luas, Ruqayah dan Ummi Kaltsum telah diceraikan oleh suami mereka. Ke-Rasulan Muhammad juga menyebabkan Abu Lahab pernah mengancam kedua-dua anak lelakinya. Ini semua adalah kerana ketajaman lidah Ummu Jamil yang berhasil mengikis kecintaan Abu Lahab kepada Muhammad.
 
        Ummu Jamil berasal dari keluarga Abdus Syams, beliau berbuat begitu kerana rasa iri hati dan mahu membalas sakit hati kaumnya kepada keluarga bani Hasyim. Beliau ingin memutuskan rasa kekeluargaan di antara keluarga bani Hasyim. Dari kaum bani Hasyim, hanya mereka sahaja yang menentang Muhammmad s.a.w. memang ramai bani Hasyim yang yang menolak unutk memeluk Islam tetapi mereka tidak menentang dan menghina Muhammad mahupun menyeksa kaum muslimin sepertimana yang telah dilakukan oleh kaum Quraisy dan Abu Lahab.
 
        Disebabkan dendam itu semua, kedua puteri Rasulullah telah menjadi janda. Ruqayah dan Ummi Kaltsum telah diceraikan dan dikembalikan kepada orang tuanya oleh Ummu Jamil dan Abu Lahab. Sekembalinya Ruqayah dan Ummi Kaltsum ke rumah orang tuanya telah menambahkan lagi semangat ketabahan dalam keluarga Muhammad s.a.w. Justeru Rasulullah s.a.w dan keluarganya merasa beruntung dan lega kerana kedua-dua puterinya telah terlepas dari cengkaman keluarga Abu Lahab.
 
        Allah s.w.t telah menunjukkan kuasa dan kebesarannya. Uthman bin Affan, seorang pemuda Quraisy yang gagah, tampan serta dermawan yang juga salah seorang daripada sepuluh orang mukmin pertama yang telah dijamin masuk syurga telah berjaya menggantikan kedudukan Utbah di hati Ruqayah.
Uthman bin Affan bin Abi Al-‘Ash bin Umayah bin Abdus Syams adalah pemuda Quraisy yang paling tinggi darjatnya berdasarkan keturunan, kaumnya pula adalah kaum terhormat di antara kaum Quraisy pada zaman Jahiliah. Perkahwinan mereka kali ini tidak dimeriahkan oleh kota Makkah. Tetapi mereka adalah pasangan pengantin yang paling serasi dan menyenangkan sesiapa sahaja.
 
        Kaum muslimin yang sedikit itu amat berbahagia dengan perkahwinan ini, tetapi sebaliknya pula bagi kaum Quraisy. Kemarahan mereka bertambah menyala-nyala. Mereka hairan kerana semakin mereka tertekan, semakin kuat dan berjayalah Islam. Jumlah kaum muslimin yang sedikit itu juga telah berani menentang kaum Quraisy yang begiut ramai.
 
        Kaum Quraisy kebingungan melihat keadaaan ini. Berbagai usaha telah dilakukan untuk menakut-nakutkan kaumnya agar tidak memeluk Islam, tetapi semuanya sia-sia belaka. Setiap kabilah telah berusaha mengembalikan kaumnya yang telah memeluk Islam. Diseksa dengan berbagai cara, dibaringkan di atas padang pasir yang panas terik, dipenjaradan berbagai derita lain telah mereka lakukan. Tetapi tidak ada satupun yang berhasil, mereka lebih rela mati daripada kembali ke agama nenek moyang mereka.
 
        Rasulullah s.a.w tidak sanggup lagi melihat penderitaan yang terpaksa dihadapai oleh kaumnya. Oleh itu, baginda telah menyeru agar kaumnya berhijrah ke Habsyah. Seruan tersebut telah diterima oleh Uthman. Setelah semua telah bersiap sedia, tibalah masa unutk mereka berangkat ke Habsyah bersama- sama dengan beberapa kaum yang lain. Perjalanan yang panjang akhirnya membawa hasil juga. Penduduk Habsyah menerima mereka dengan tangan terbuka. Keramahan memancar dari setiap mata penduduknya. Rajanya pula talah menjanjikan kawasan pertanian yang subur untuk mereka.
 
        Kehidupan mereka di Habsyah telah mendapat jaminan keselamatan. Meskipun demikian, hati mereka tidak pernah tenang, telinga mereka seakan–akan mendengar berbagai khabar tentang saudara-saudara mereka di Makkah. Kerinduan mereka kepada Makkah dan sanak-saudara tidak boleh terhapus begitu sahaja. Ruqayah tidak mampu untuk menahan gejolak kerinduan hatinya. Walaupun Uthman sentiasa ada disampingnya untuk melindunginya.
 
        Tetapi hatinya memberontak, kerinduan kepada kedua orang tua dan semua ahli keluarganya begitu menggetarkan dada. Kerinduan ini juga telah membuatkan Ruqayah jatuh sakit. Bahkan ketika terdengar khabar yang tidak begitu jelas tentang keadaan Makkah yang semakin buruk, Ruqayah telah pengsan dan mengakibatkan keguguran kandungannya.
 
        Setelah segalanya beransur pulih, keadaan Makkah juga bertambah baik. Keadaan ini telah mendorong mereka untuk kembali semula ke tanah kelahiran mereka. Ruqayah langsung menuju ke rumah oran tuanya sebaik sahaja tiba di Makkah. Namun semuanya tidak terduga sekembalinya ke rumah, dia hanya disambut oleh ayah dan adik-beradiknya sahaja. Ini adalah kerana ibunya, Siti Khadijah telah meninggal dunia.
 
        Ruqayah telah dapat kembali mengecap kehidupan di Makkah bersama keluarganya. Ketika Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, Ruqayah dan suaminya juga telah turut serta. Maka lahirlah putera sulung mereka di situ, yang diberi nama Abdullah. Bayi itu adalah sumber keriangan hatinya, segala kesedihannya terhibur dengan kemunculan si comel itu. Kematian demi kematian seakan-akan menjadi sejarah hitam dalam kehidupan Ruqayah.
 
        Kegundahan belum lagi hilang, disusuli pula dengan kematian puteranya yang baru sahaja berusia enam tahun kerana sakit. Penderitaan yang dialaminya telah membuatkan kesihatan Ruqayah merosot dengan cepat. Ruqayah telah diserang penyakit panas di kala kaum muslimin menyiapkan diri untuk berjihad. Uthman berkeinginan untuk sama berjihad namun keadaan Ruqayah tidak mengizinkan dirinya untuk turut serta. Namun penyakit Ruqayah tidak bertambah pulih malah dia telah menghembuskan nafas yang terakhir bersamaan dengan terdengarnya takbir kemenangan umat Islam di hadapan suami yang dikasihi dan mengasihi dirinya.
 
        Jenazah Ruqayah r.a telah disolatkan oleh Rasulullah s.a.w bersama kaum muslimin. Makam kota Madinah telah menerima penghuni baru iaitu Zatil Hijratain Ruqayah r.a, gelaran yang telah diberikan Rasulullah s.a.w kepada puteri keduanya itu. Yang beerti; “Orang yang telah berhijrah 2 kali, ke
Habsyah dan ke Madinah.”

No comments: